Kota Bharu: Keadaan kesihatan bekas pemain bola sepak kebangsaan, Mohd Hashim Mustapha yang kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) kembali kritikal.
Isterinya, Zaheran Hussien, 56, berkata, doktor menghubunginya pagi tadi memberitahu bacaan tekanan darah suaminya, menurun dengan mendadak.
Katanya lagi, sanak saudara juga diminta datang ke Hospital Universiti Sains Malaysia (Hopital USM) Kubang Kerian untuk bersedia dengan segala kemungkinan.
"Sebaik dihubungi doktor, saya bergegas datang dan dimaklumkan bahawa tekanan darahnya menurun.
"Buat masa ini kami tidak boleh menjangkakan apa-apa perkembangan positif sebaliknya meminta semua berdoa yang baik-baik sahaja," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Zaheran berkata, beliau terkilan dengan berita pemergian suaminya yang ditularkan sejak pagi tadi dan meminta agar orang ramai mendapatkan berita yang sahih sekali gus menghormati perasaan mereka sekeluarga.
Untuk rekod, Hashim pernah dinobatkan penjaring terbanyak dan memenangi anugerah kasut emas pada era 90-an dalam saingan Liga Malaysia selain turut mewakili negara pada era itu.
Penyerang kelahiran Kota Bharu itu, pernah dilantik sebagai penolong jurulatih pasukan Kelantan pada 2010 sehingga 2012, dan beliau kali terakhir menjadi ketua jurulatih pasukan Tok Janggut Warriors FC yang beraksi dalam Liga M3.
penyerang legenda Kelantan Mohd Hashim Mustapha meninggal dunia 10.30 malam, Selasa.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhirnya pada usia 56 tahun.
Penjaring terbanyak Liga Malaysia pada tahun 1983 ini dimasukkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) beberapa hari lalu dan ditidurkan berikutan keadaan jantung yang tidak stabil.
Sebelum ini, pada 27 Oktober lalu Hashim telah mejalani pembedahan memotong kaki kirinya berikutan penyakit kencing manis.
Sebagai rekod, Hashim yang juga merupakan bekas pemain kebangsaan (1987-1994) meneruskan kariernya sebagai jurulatih selepas bersara sebagai pemain.
Allahyarham pernah membimbing pasukan Bawah 21 Kelantan (2008), penolong jurulatih Kelantan (2010-2015), pasukan MOF (2015-2016), B-21 Kelantan (2016-2017) dan terakhir membimbing D’AR Wanderers (2017-2018).
Al-Fatihah